Dear Puan N…

Ada sorang hamba Allah pm aku, berkongsi cerita ujian yang sedang dia hadapi. Puan N ni baru bersalin minggu lepas, tapi baby nya ada komplikasi dan meninggal beberapa jam selepas tu. Jadi dia minta aku tuliskan sesuatu untuk memberi sedikit kekuatan padanya.

Allahu.

Tak tahu kat mana nak mula. Janggal bila ada yang datang meminta nasihat daripada saya yang jauh dari sempurna. Bismillah. Ini saya cuba kongsikan sedikit pandangan, sekadar menyampaikan hajat puan. Moga-moga Allah sampaikan pula hajat-hajat saya.

Pertamanya, saya doakan puan dan suami agar diberi kekuatan untuk menerima takdir Allah. Saya faham keadaan puan ketika ini, tetapi jangan layankan sangat bisikan syaitan tu. Jangan sampai jauh dalam hati kita, ada perasaan kurang senang dengan ketentuan Allah.

Sedangkan kita bertasbih, Subhanaka ya rob, Maha suci Engkau wahai tuhan. Engkau Maha Sempurna, Engkau Maha Baik, tak mungkin Allah menzalimi hambaNya. Tidak sama sekali Allah akan mensia-siakan kita. Bak kata Ustaz Pahrol, kasih sayang kita cuma seraut, sedang kasih sayang Allah selaut.

Kemudiannya, tak dapat tidak memang kita kena bersabar. Mungkin cliché, tapi memang itulah yang kita perlu — Sabar.

Senang untuk saya bercakap, sebab bukan saya yang sedang diuji. Tapi, puan pujuklah hati untuk tetap sabar, kerana ganjaran pahala sabar tidak terbatas. Kalau ibadah lain ada Allah tetapkan sekian-sekian ganjarannya. Solat berjemaah misalnya, diangkat sebanyak 27 darjat daripada solat berseorangan. Solat di Masjidil Haram, 100,000 kali ganda. Lailatul qadr, pahala seperti 1,000 bulan. Sedekah, 700 kali ganda.

Tetapi untuk sabar, pahalanya unlimited, tak terbatas. Moga-moga ini dapat memberi kekuatan untuk puan terus bersabar.

Saya nak share satu analogi mudah. Kalaulah kita sebagai majikan nak ambil pekerja, kita nak pilih calon yang pengalamannya baru 6 bulan atau yang sudah 6 tahun berada di dalam industri? Yang mana yang lebih meyakinkan? Pastinya kita akan pilih yang lebih berpengalaman.

Begitu juga ujian. Pujuklah hati, bila Allah beri ujian, ujian itu bertempoh. Bukan untuk selama-lamanya. Sebaik selesai tempoh, ada ‘sijil’ yang Allah akan keluarkan. Ada tauliah, ada ‘konvokesyen’ untuk kita. Kalau kita pergi majlis konvokesyen yang hanya makhluk saja yang memberi sijil, itu pun dah bukan main seronok bawak bunga ke hulu ke hilir ambik gambar, bayangkan pula satu majlis penganugerahan daripada Allah swt. Pentauliahan sijil yang dikeluarkan oleh Allah kepada orang-orang yang cukup tempoh kesabarannya. Dan tentunya sijil untuk orang yang sabar 3 tahun tak sama dengan orang yang sabar 3 hari.

Jadi jangan letakkan tempoh berapa lama kita ‘patut’ bersabar. Hanya Allah yang tahu berapa lama kita akan diuji pada sesuatu keadaan.

It’s all part of His beautiful plan. Since puan memang follow blog saya, saya pernah tuliskan cerita tentang anak kecil dan ibunya yang sedang mengait. Hairan dia kenapa ibunya tekun menyiapkan sesuatu yang ‘buruk’.  Rupa-rupanya dia melihat dari bawah. Bila dilihat dari atas, baru dia kagum cantik rupanya hasil kerja si ibu.

Begitulah kita ini. Kadang-kadang kita hanya melihat dari bawah, dari mata seorang hamba yang jahil, yang lemah, yang tak tahu apa-apa. Walhal Allah yang Maha Bijaksana, yang Maha Pengasih sedang menenun kisah yang sangat indah untuk kita.

Dan selalu kan, kita lihat, bila ada sedikit kesusahan pada sesatu perkara, ada kemudahan dalam banyak perkara yang lain. Tak perlu saya panjangkan. Lihat sahaja kisah di sekeliling kita. Ada yang bermasalah dengan pasangan, tetapi masyaallah, anak-anaknya pandai, mendengar kata. Ada yang bermasalah di pejabat, tetapi ibu ayahnya sentiasa menjadi penguat di belakang. Subhanallah, innama’al usri yusro. Benar janji Allah. Sesungguhnya pada setiap kesusahan, di sana ada kemudahan yang Allah sertakan.

Cuma kalau ada sedikit yang saya boleh tambah, puan cubalah sibukkan diri dengan perkara kebaikan. Kerana seseorang yang tidak menyibukkan dirinya dengan kebaikan, maka dia akan sibuk dalam kejahatan. Manusia ini sifatnya memang sibuk, tak boleh duduk diam. Sepanjang masa hati kita ini menjadi rebutan antara malaikat dan syaitan. Moga-moga kita sentiasa di dalam kebaikan.

Sungguh ujian untuk puan adalah besar, tetapi Allah yang memberinya jauh lebih besar. Dan jika kita lihat sunnah nabi, ujian yang besar itu adalah untuk ‘membesarkan’ kita. Jadi serahlah segalanya kepada Allah. Let go, let god. Ulang-ulangkan kembali kalimah istirja’. Kita ini milik Allah, dan kepadaNya kita akan dikembalikan.

Untuk Puan N sekeluarga, saya dan sekalian kawan-kawan mendoakan agar puan dan suami dikurniakan ketenangan hati dan digantikan apa yang hilang itu dengan sesuatu yang lebih baik lagi.

Kita bertemu untuk berpisah. Dan kita berpisah untuk bertemu semula… di syurga!

Note to myself: Jangan fikir sakit itu sahaja musibah. Musibah yang paling besar menimpa seseorang adalah apabila dia terlalai daripada mengingati Allah, apabila dia jauh dari Allah. Orang yang ditimpa sakit itu selalunya kembali mendekat kepada Allah, sedang kita yang sihat ini semakin lupa kepada Allah. Nau’zubillah. Itu jauh lebih besar musibahnya.


4 responses to “Dear Puan N…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s